Followers

Saturday, August 11, 2012

rumput jiran sentiasa lebih hijau - Prof MKI

Assalamualaikum ...
Alhamdulillah pada 9/8/12 (khamis) kami bertemu sv untuk update progress research ...
antara agenda yang dibincangkan tentang penulisan tesis, kerja2 penyelidikan dll ...
nampaknya cuti hari raya ni saya perlu ambil kesempatan turun padang jumpa responden untuk testing phase ...

"Rabbi yassir wala tu 'assir, rabbi tammim bil khoir", yang bermaksud, "Ya Tuhan, permudahkanlah urusanku, permudahkanlah jangan disulitkan"
 

Disini saya ingin kongsikan tulisan Prof Kamil Ibrahim ...
sedikit sebanyak memang ada kena mengena dengan kehidupan seharian kita
 

sumber: blog Prof MKI

Istilah “rumput jiran sentiasa lebih hijau” merupakan pandangan semulajadi manusia.

Kita melihat orang lain sentiasa lebih istimewa. Banyak kes begitu. Dan keistimewaan orang lain ini tiada penghujung jika tidak ditangani dengan betul. Malah – kadangkala juga – ia tidak membawa damai di hati.
Ketika tiada kenderaan, kita dianugerahkan basikal maka kita berasakan “alangkah baiknya jika mempunyai motorsikal”. Ia lebih istimewa. Akhirnya, jika diberi kesempatan membawa Kancil, maka Honda pula yang dilihat lebih istimewa.
Ia tidak berakhir di situ.
Saya sering menaiki pesawat. Dahulu, saya melalui kawasan kelas perniagaan sebelum sampai ke tempat duduk sendiri di kelas ekonomi. Di dalam hati berkata, “aduh… istimewanya yang berada di hadapan”.
Kemudian saya diberi kesempatan untuk merasai kawasan tersebut. Perasaan istimewa itu mengensot hilang. Ia jadi biasa-biasa. Kita memandang sesuatu yang belum terjangkau.
Kita mendongak.
Jika kita membuat senarai keistimewaan yang dimiliki oleh orang lain maka ia tidak akan ada nokhtah. Ia permainan hati. Tambah-tambah lagi jika ia dikaitkan dengan keistimewaan harta benda.
Namun ada sesuatu menarik tentang keistimewaan yang ada pada manusia lain. Nun jauh di sudut hati kita beranggapan ia sukar untuk dimiliki.
Misal mudah, saya pernah dijemput ke kediaman sesorang yang mempunyai penyaman udara lebih daripada 20 unit. Saya fikir – dengan kemampuan sedia ada – tidak mampu untuk saya miliki.
Saya melihat Jaguar di rumah kenalan. Tidak… juga saya tidak mampu mempunyainya.
Atau, saya senyum-senyum mendengar pendapatan rakan-rakan yang bersara dan menceburkan diri dalam dunia perniagaan. Wah, istimewanya mereka dengan kesenangan tersebut. Tidak… saya tidak fikir saya mampu mencapainya.
Saya pernah ditanya tentang kehidupan. Jawab saya mudah, “saya tidak meninggalkan dunia yang serba indah ini tetapi yang lebih saya mahu amati ialah kehidupan yang kekal abadi”.
Pertanyaan tersebut dijawab dengan pertanyaan yang lain, “apa sahaja yang kita lakukan mesti menjawab satu soalan asas yang paling mudah, “adakah ia mendekatkan diri kepada Allah SWT?”.
Jika jawapannya “YA”, maka belilah kapalterbang untuk meneroka dunia. Ia tidak mengapa.
Maksud saya, kita mesti menjadi manusia istimewa di sisi Allah. Bagaimana? Cubalah solat berjemaah di masjid setiap waktu. Ia sungguh istimewa. Perhatikan waktu subuh. Lihatlah bagaimana Allah mengasingkan nilai keistimewaan tersebut di sisiNya.
Kita boleh jadi manusia istimewa dengan konsisten bangun malam, sesuatu yang kelihatan sukar di sisi manusia. Ia tidak perlu melihat orang lain. Miskin, kaya, berkuasa atau tidak, pengurus, Perdana Menteri, Raja, profesor, tukang sapu jalan atau sesiapa sahaja berhak mendapat keistimewaan ini.
Banyak lagi yang boleh dilakukan yang InsyaAllah, menjadikan kita manusia istimewa.
Alahai… akhirnya keistimewaan ini menjadikan kita semakin kerdil di sisi Allah sehingga terhapus segala rasa tersebut. Air mata sentiasa mengalir di pipi menginsafi betapa kehidupan dunia hanyalah ujian yang perlu dilepasi.
Dan tentunya kita akan mengatitkan kisah kehidupan dan kematian sebagaimana yang disebut oleh Rasulullah SAW. Hadis ini direkodkan oleh Ibnu Abid Dunya dan Tirmizi. Ia bermaksud,
Aku dapati perumpamaan anak Adam [manusia yang meninggal dunia seperti seorang bayi yang keluar dari rahim ibunya yang sempit dan gelap ke dunia yang terbuka luas. Sebelum datang ke dunia, rahim ibu dianggap sebagai tempat yang sangat selesa].
Selepas menyaksikan keselesaan  dan kenikmatan dunia tiada seorang pun yang mahu kembali ke sana. Begitu juga, semasa hidup di dunia ini ia takutkan akhirat tetapi selepas pergi ke sana tiada seorang pun yang ingin untuk kembali [bagi mereka yang beriman]
Saya mohon keampunan Allah.